Tuesday, April 22, 2014

Makanan bagi bayi berusia 6 bulan

Makanan pertama bayi


Kementerian Kesihatan menyarankan supaya anda menyusukan bayi anda sehingga usianya enam bulan. Selepas enam bulan, susu badan sahaja tidak mencukupi untuk memberikan bayi anda nutrien yang secukupnya terutamanya zat besi; oleh itu makanan lain diperlukan juga.

Menunggu selama enam bulan untuk memperkenalkan makanan pejal ke dalam diet bayi anda adalah baik sebab akan meminimakan risiko tindak balas berlawanan terhadap makanan dan alergi. Ini amat penting jika terdapat peristiwa alergi dalam sejarah keluarga anda kerana kes-kes alahan terhadap makanan, alergi dan penyakit seliak berkurangan jika anda menangguhkan cerai susu sehingga waktu tersebut.

Jika anda merasakan bayi anda sudah memerlukan makanan pejal sebelum usianya enam bulan, bincanglah dahulu dengan pakar pediatrik anda. Ini penting terutamanya jika bayi anda dilahirkan pramatang. Pakar-pakar menegaskan bahawa makanan pejal tidak seharusnya diperkenalkan sebelum bayi anda berusia empat bulan (20 minggu).

Salah satu perkara pertama yang bayi anda perlu pelajari apabila tiba waktu bercerai susu ialah bagaimana menelan bahan "bukan cecair". Justeru, untuk memastikan bayi anda tidak perlu terus menerima perisa baru dan juga menggunakan otot yang berbeza bagi menelan, maka makanan pertama paling biasa diberikan ialah nasi bayi yang tawar dicampur dengan susu yang biasa bayi anda minum. Apabila bayi anda telah selesa dengan nasi dan susu, berikannya pula sedikit puri buah atau sayur. Panduan am dalam pekara ini ialah perkenalkan satu jenis makanan pada satu-satu masa dan menunggu sekurang-kurangnya tiga hari sebelum memperkenalkan makanan lain supaya anda dapat mengetahui sama ada sesuatu makanan itu sesuai atau tidak bagi bayi anda.

carta makanan uuntuk bayi

Cubalah: puri sayur-sayuran seperti lobak, labu dan keledek;
puri buah-buahan seperti mangga, betik atau pisang lenyek dan juga buah epal dan pir yang sudah dimasak;
bijiran bayi yang bebas gluten seperti nasi bayi diperkaya dengan zat besi dan dicampur dengan susu biasa bayi;
bubur nasi kosong yang dimasak di rumah.



Peringkat seterusnya
Apabila bayi anda nampak gembira disuap dengan sudu, tambahkan jenis makanan, seperti:
puri lentil atau legum seperti kacang pis;
puri sayur-sayuran campuran dengan ubi kentang atau nasi;
puri yang terdiri daripada sayur-sayuran berdaun hijau seperti kobis, bayam, sawi atau kailan.

Cuba berikan hanya satu hidangan puri manis atau bijiran dalam sehari dan berilah puri sayur-sayuran setiap masa. Jadikan makanan tersebut semakin pekat secara perlahan-lahan.

Pakar pediatrik anda mungkin akan menyarankan supaya anda menunggu:
sekurang-kurangnya enam bulan untuk memperkenalkan kacang soya, ikan dan buah-buahan sitrus;
satu tahun untuk memperkenalkan telur dan susu lembu atau produk susu (keju dan yogurt);
dua tahun untuk memperkenalkan kerang-kerangan.
Jika keluarga anda mempunyai sejarah alergi seperti ekzema, asma atau alahan terhadap makanan; elakkan memberi bayi anda kacang tanah dan bijan sehingga usianya tiga tahun.

Risiko mendapat penyakit seliak boleh dikurangkan dengan mengelakkan pengambilan makanan yang mengandungi gluten, seperti gandum, rai dan makanan berasaskan barli. Ini termasuklah roti, tepung, pasta, sesetengah bijiran sarapan dan biskut rusk sehingga usia enam bulan. Sebaik-baiknya elakkan pengambilan oat sehingga usia bayi enam bulan kerana ia mungkin mengandungi serpihan gluten.

Elakkan susu untuk membesar bagi bayi yang lebih matang sehingga bayi anda sudah melepasi enam bulan.
Jangan masukkan garam atau gula, madu atau pemanis lain ke dalam makanan bayi anda.

No comments:

Post a Comment